Jump to content

Wn/ms/PROTON perkenal e.MAS, jenama untuk produk kereta elektrik

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > PROTON perkenal e.MAS, jenama untuk produk kereta elektrik

13 Jun 2024 (Khamis)

Proton Holdings Bhd (PROTON) melancarkan jenama bagi barisan produk kereta elektrik pertamanya sebagai Proton e.MAS semalam. Jenama itu turut tampil dengan logo baharu.

PROTON EMAS, kereta hibrid konsep semasa Pertunjukan Motor Geneva 2010.
Imej: David Villarreal Fernández.

Menerusi majlis pelancaran rasmi jenama dan logo EV yang diadakan di Subang itu, nama e.MAS merupakan gabungan di antara perkataan Inggeris electric (elektrik) dan Malaysia. "Huruf e adalah simbolik kepada electric dan MAS merupakan singkatan kepada Malaysia, negara yang kita cintai. Oleh itu, e.MAS ialah simbol kepada kepimpinan Malaysia dalam menerajui penyelesaian berkaitan mobiliti elektrik," kata Azlan Othman, Ketua Pereka PROTON.

Logo jenama e.MAS pula adalah kesinambungan daripada logo terkini PROTON. Ia memaparkan visual yang lebih ringkas, namun masih mengekalkan identiti harimau yang digunakan pada logo asal. "Ia merupakan warisan dan kebanggaan, jadi kekal menjadi simbolik menerusi penggunaan imej harimau. Ia berevolusi dari logo utama yang memiliki paparan harimau yang lebih ringkas dan jelas. Malah, logo EV ini boleh dikesan dari jauh dengan keadaan berbeza," tambahnya.

Susulan pengumuman itu, PROTON berkata mereka menjangkakan model EV pertama akan diperkenalkan penghujung tahun ini, dengan sasaran sebanyak lima model di bawah jenama e.MAS. Selain itu, PROTON juga melantik 17 pengedar EV utama di seluruh Malaysia yang telah memeterai perjanjian semalam.

Untuk rekod, PROTON pernah memperkenalkan siri kereta hibrid konsep yang menggunakan jenama "Proton Emas" semasa dalam acara Pertunjukan Motor Geneva 2010.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog