Wn/ms/PN pertahankan kerusi DUN Sungai Bakap, menang dengan majoriti 4,267 undi
6 Julai 2024 (Sabtu)
NIBONG TEBAL - Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dalam Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Bakap yang diadakan hari ini.
Menerusi keputusan rasmi yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abidin memperoleh 14,489 jumlah undian, berbanding Dr Joohari Ariffin dari Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh 10,222 jumlah undian. Pengurus Pilihan Raya SPR, Khairulnizam Hashim mengumumkan kemenangan Abidin di Dewan Serbaguna Jawi yang menjadi lokasi Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.
"Ini merupakan kemenangan rakyat," katanya menerusi satu kenyataan. "Rakyat menghantar isyarat jelas kepada kerajaan negeri dan persekutuan dengan beberapa pendekatan dan polisi yang diperkenalkan sejak akhir-akhir ini, terutamanya penyasaran subsidi diesel yang membebankan ramai pengguna."
Mengulas mengenai kekalahan itu, Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata isu di peringkat nasional banyak mempengaruhi kempen di Sungai Bakap. "Tiada kena mengena dengan latar belakang calon, isu negara seperti subsidi dan inflasi yang memberi kesan kepada kos sara hidup ialah beban yang terpaksa ditanggung rakyat," katanya.
Untuk rekod, Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Bakap diadakan semula susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff atau lebih mesra dikenali sebagai Abang Zam akibat komplikasi di bahagian perut.
Beliau memenangi kerusi DUN Sungai Bakap dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, menewaskan calon dari PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. Beliau meraih sebanyak 15,433 undi.
Sumber
[edit | edit source]- (Melayu) Malinda Abdul Malik. "Sungai Bakap kekal milik PN dengan majoriti 4,267 undi" — Malaysia Gazette, 6 Julai 2024
- (Inggeris) Audrey Dermawan. " OFFICIAL: PN retains Sungai Bakap " — New Straits Times, 6 Julai 2024
- (Melayu) "PN menang PRK Sungai Bakap: Kemenangan rakyat" — HarakahDaily, 6 Julai 2024
- (Melayu) "PH tidak bernasib baik di Sungai Bakap, isu nasional lebih mengesan" — Suara Keadilan, 6 Julai 2024