Wn/ms/PETRONAS sahkan terima notis dari Kerajaan Sarawak mengenai aktiviti proses, edar gas
2 Mei 2025 (Jumaat)
KUALA LUMPUR - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hari ini mengesahkan bahawa anak syarikatnya, PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB), menerima notis pada 30 April 2025, daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak berkaitan pemprosesan dan pengedaran gas.
Syarikat minyak negara itu menjelaskan bahawa PCSB diberi kuasa mengikut undang-undang di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 untuk menjalankan aktiviti syarikat dan mematuhi semua undang-undang yang terpakai dalam berbuat demikian.
“Meskipun kita menghormati aspirasi negeri Sarawak, PETRONAS juga mempunyai kewajipan untuk menegakkan PDA 1974 ini dan menjaga kepentingan negara.
“PETRONAS akan terus terlibat secara konstruktif dan bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak dan Petros dalam meneroka pengaturan masa depan untuk memastikan kejelasan peraturan dan kesinambungan operasi untuk manfaat industri, negeri dan negara secara keseluruhannya,” menurutnya.
Dilaporkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak telah menghantar surat tuntutan kepada PCSB atas dakwaan melakukan pelanggaran atau ketidakpatuhan terhadap Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.
Pelanggaran itu membabitkan operasi loji milik PCSB di Miri Crude Oil Terminal (MCOT) di Lot 915-916, Lorong 1A-1A, Desa Senadin, 98100 Miri, Sarawak.
Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak mendakwa, loji berkenaan beroperasi secara haram atau tanpa permit di bawah Seksyen 7(e) DGO 2016.
Kerajaan negeri itu juga memberi tempoh selama 21 hari dari tarikh surat berkenaan, yang bertarikh 30 April 2025, untuk PCSB mendapatkan lesen atau berdepan penalti kewangan.
Sumber
[edit | edit source]- (Melayu) "Aktiviti proses, edar gas: Petronas sahkan terima notis dari kerajaan Sarawak" — Harian Metro, 2 Mei 2025
- (Melayu) Mahanum Abdul Aziz. "PETRONAS sah terima notis daripada Kerajaan Sarawak" — Berita Harian, 2 Mei 2025

