Wn/ms/New Zealand dedahkan fasiliti program kem latihan ala tentera bagi pesalah belia
22 Julai 2024 (Isnin)
WELLINGTON - Kerajaan New Zealand telah mendedahkan fasiliti yang akan menjadi lokasi rintis kem latihan ala tentera yang bakal dilaksanakan bulan ini. Kem latihan itu dikenakan ke atas pesalah belia yang telah dijatuhi hukuman sebagai cara mengembalikan mereka ke landasan yang betul.
Menerusi majlis yang dihadiri pemangku Perdana Menteri, David Seymour, Menteri Kanak-Kanak, Karen Chhour dan pengamal media tempatan, mereka diberi peluang melawat fasiliti keadilan di Palmerston North yang dikenali sebagai Residen Keadilan Remaja Te Au rere a te Tonga. Seramai 10 pesalah belia lelaki akan memulakan kem di fasiliti itu yang berlangsung selama 12 bulan bermula 29 Julai ini.
Menurut Chhour, tiga bulan pertama program itu akan digerakkan sepenuhnya di fasiliti berkenaan dengan fokus diberikan kepada struktur dan rutin yang disokong dengan "pengurusan kes intensif" bagi setiap banduan. "Selepas tamat tiga bulan, fasa program selama sembilan bulan seterusnya akan memberikan fokus kepada sokongan belia terbabit untuk mula bercampur dengan komuniti luar secara berperingkat," katanya menerusi kenyataan.
Seymour berkata, rutin harian mereka akan bermula pukul 6:45 pagi, makan sebanyak tiga kali sehari kemudian masuk tidur pada pukul 9:30 malam. Kesemua peserta akan mengenakan pakaian uniform ala-ala tentera dan kerja menggosok pakaian itu juga akan menjadi sebahagian daripada rutin harian.
Kem asas itu dibangunkan dan diuruskan secara bersama oleh Kementerian Kanak-Kanak, Kementerian Keadilan, Angkatan Pertahanan New Zealand serta kumpulan komuniti.
Namun begitu, program itu dipersoalkan pembangkang dari Parti Buruh yang menyatakan bahawa mengembalikan eksperimen kem latihan yang sebelum itu ternyata gagal bukanlah solusi terbaik dalam "menyelesaikan" jenayah dari golongan belia. "Ini bukanlah jawapannya. Terdapat banyak bukti kukuh yang menunjukkan bagaimana penyelesaian pragmatik bagi mendepani kelakukan seseorang belia, selain melihat isu yang lebih besar dalam kekeluargaan mampu menghentikan kelakuan buruk," kata jurucakap parti, Willow-Jean Prime.
"Parti akan sentiasa mempertanggungjawabkan kerajaan serta mendukung polisi berdasarkan bukti berbanding pilihan melulu yang membawa kita keterbelakangan."
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Children's Minister unveils pilot boot camp in Palmerston North " — RNZ, 20 Julai 2024
- (Inggeris) " Children’s Minister unveils pilot boot camp in Palmerston North " — The Star, 21 Julai 2024
- (Inggeris) " NEW ZEALAND LAUNCHES BOOT CAMP FOR YOUNG OFFENDERS " — Bernama, 20 Julai 2024
- (Inggeris) Willow-Jean Prime. " We need real solutions, not more failed boot camps – Willow-Jean Prime " — Parti Buruh, 17 Julai 2024