Wn/ms/Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu
20 Jun 2025 (Jumaat)
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Polis Diraja Malaysia kini dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) dalam satu majlis serah tugas dan pemakaian lencana yang diadakan siang tadi.
Beliau bakal menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang akan tamat kontraknya pada Ahad ini dan pelantikkannya pula adalah secara kontrak selama dua tahun bermula 23 Jun sehingga 22 Jun 2027. Pelantikan Ketua Polis Negara yang ke-15 itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis yang berlangsung di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur turut disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Dalam majlis itu, Saifuddin menyerahkan watikah pelantikan dan lencana pangkat Ketua Polis Negara kepada Mohd Khalid.
Dilahirkan pada tahun 1965 di Manong, Perak, Mohd Khalid memulakan kerjaya dalam bidang kepolisan pada tahun 1987 apabila beliau ditempatkan di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Pada tahun 2023, beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman.
Sementara itu, Razarudin menyatakan hasrat untuk tidak menyambung kontrak sebagai Ketua Polis Negara sebagai menghormati hasrat ibunya.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Farik Zolkepli, Justin Zack. "Mohd Khalid Ismail appointed as new IGP" — The Star, 19 Jun 2025
- (Melayu) "Khalid Ismail dilantik sebagai KPN baharu" — Free Malaysia Today, 20 Jun 2025
- (Melayu) Nurul Amalina Zainudin, Ing Boon Seng. "Mohd Khalid dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15" — Buletin TV3, 20 Jun 2025