Wn/ms/Manga bersiri Chainsaw Man dinoktahkan, karya Tatsuki Fujimoto menutup tirainya pada bab 232
Jepun - Tatsuki Fujimoto, seorang pelukis manga Jepun menoktahkan karya terulungnya dalam manga bersiri Chainsaw Man melalui penerbitan bab terakhir iaitu bab ke-232, dengan tajuk "Terima Kasih, Lelaki Bergergaji" (ありがとうチェンソーマン; Arigatō Chensō Man) semalam, menerusi Manga Plus dan Shōnen Jump+, tapak sesawang manga dalam talian yang dikendalikan oleh Shueisha Inc., Jepun.
Dengan menampilkan epilog kepada manga berkenaan setebal 34 halaman, ia memainkan peranannya sebagai resolusi dan perpisahan yang pahit dan manis kepada para pembaca. Pelbagai sumber mendedahkan penerbitan bab terakhir itu memberikan ganjaran emosi untuk perjalanan Denji selaku watak utama, yang telah berhadapan dengan keadaan huru-hara dalam kehidupannya seperti yang dilaluinya dalam Arka Pertarungan Iblis.
Penerbitan bab terkahir ini mendapat pelbagai respons daripada pembaca dalam media sosial. Sesetengah pembaca menyambut dengan baik dan menganggap sebagai sebuah resolusi emosional yang menampilkan detik imbas kembali watak-watak lain seperti kehadiran Power selaku sahabat karib Denji.
Walapun begitu, beberapa pembaca berkongsi perasaan kecewa memandangkan terdapat plot yang tidak terselesaikan dan tergantung dalam arka, watak-watak yang terlupakan seperti Kobeni serta tiada penerangan mendalam terhadap keupayaan sepenuhnya Pochita.
Ia juga disifatkan sebagai pengakhiran yang terburu-buru. "Seperti speed run untuk menamatkannya," kata seorang peminat.
Beberapa orang juga mengambil langkah keluar daripada kepeminatan Chainsaw Man akibat kecewa dengan Fujimoto, walaupun telah menyokong sejak lapan tahun lalu.
"Saya rasa saya akan sangat menyukai pengakhiran bab ini, tetapi saya rasa Fujimoto sudah bosan dengan menulis dan [berani untuk] terus melangkau ke penghujung yang dirancang pada tengah-tengah arka [cerita]," ujar seorang peminat manga tersebut menerusi Reddit.
Manga bersiri Chainsaw Man julung kali diterbitkan pada tahun 2018 menerusi majalah mingguan Shōnen Jump, sebelum berpindah ke Shōnen Jump+ pada tahun 2022 melabuhkan tirai penceritaannya pada bab 232. Mengisahkan seorang remaja lelaki, Denji yang hidup sebatang kara bersama binatang iblisnya, Pochita sebelum dihidupkan semula menjadi manusia iblis hibrid yang terbenam gergaji rantai besi dalam tubuhnya.
Manga ini bukan sahaja mendapat sambutan hangat daripada Jepun, malah negara-negara Barat dan rantau Asia turut memberikan penerimaan yang menggalakan terhadap karya Fujimoto ini.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Brett Cardaro. "Chainsaw Man's Ending Is Actually Perfect" — CBR, 24 Mac 2026
- (Inggeris) Daryl Harding. "Chainsaw Man Manga Ends with Chapter 232" — Cruchyroll, 24 Mac 2026
- (Inggeris) Tyler Erzberger. "‘Chainsaw Man’ Ending Slammed as Fans Say Creator ‘Quit’ in Final Chapter" — Newsweek, 24 Mac 2026



