Wn/ms/Liputan jalur lebar berkelajuan tinggi kini cecah 100% di Maldives, pemangkin komuniti digital
11 Oktober 2025 (Sabtu)
MALÉ - Perkhidmatan jalur lebar gentian kini meliputi semua kepulauan di Maldives secara rasminya, demikian menurut laporan agensi media tempatan pada Jumaat.
Dalam satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Malé, Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan Dhiraagu, Ismail Rasheed berkata di bawah inisiatif "Digital Maldives", syarikat giat merancang dan membekalkan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi di setiap kepulauan tanpa pengecualian. Ia bertujuan untuk mempromosikan perniagaan dan komuniti di samping menghubungkan mereka ke persada dunia dan berpotensi mengembangkan perniagaan mereka.
"Dengan pencapaian ini, Maldives bakal menyaksikan peningkatan kepercayaan dan keyakinan para pelabur. Selain itu, ianya menjadi pemangkin kepada pembangunan akan datang dan pembentukan kerangka inovasi yang lebih terkini," kata Ismail. "Semua ini mampu dicapai atas kerja-kerja yang telah kami lakukan sebelum ini, seperti projek kabel dasar laut."
Tambahnya lagi, tidak banyak negara di seluruh dunia, lebih-lebih lagi negara yang sudah pesat membangun berjaya menyediakan perkhidmatan jalur lebar gentian pada kadar 100%.
Untuk rekod, Dhiraagu ialah syarikat perkhidmatan telekomunikasi utama Maldives dan projek pembekalan jalur lebar optik itu mengambil masa selama 5 tahun. Ia mencakupi kira-kira 578,000 populasi penduduk di Maldives yang mendiami lebih kurang 200 pulau daripada keseluruhan 1,200 pulau.
Kesemua pulau itu pula dihubungkan kepada sistem kabel dasar laut, namun hanya satu sahaja rangkaian antarabangsa dihubungkan ke Maldives iaitu sistem kabel Maldives Sri Lanka (MSC) melalui Sri Lanka. Ia telah beroperasi sejak 2021.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Azhaar Abdul Azeez. "Dhiraagu launches full fiber coverage, marking milestone in national connectivity" — SunOnline International, 10 Oktober 2025
- (Inggeris) Umar Shan Shafeeq. "Historical achievement for Dhiraagu, fiber internet connection nationwide" — The Edition, 10 Oktober 2025
- (Inggeris) John Tanner. "Dhiraagu completes fibre rollout to all inhabited islands in Maldives" — Developing Telecoms, 9 Januari 2025

