Jump to content

Wn/ms/Lebih 630,000 calon terima keputusan peperiksaan di bawah kendalian Cambridge International

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Lebih 630,000 calon terima keputusan peperiksaan di bawah kendalian Cambridge International

14 Ogos 2024 (Rabu)

CAMBRIDGE - Keputusan peperiksaan di bawah kendalian Cambridge International telah dikeluarkan semalam, termasuklah I-GCSE dan peringkat O serta A dan AS antarabangsa. Ia diterima sejumlah 631,248 calon yang menduduki peperiksaan itu di seluruh dunia.

Cambridge International di bawah Universiti Cambridge
Imej: Massive hair.

Jumlah calon yang menduduki kesemua peperiksaan itu meliputi 5,261 buah institusi pendidikan dari 140 negara, meningkat sebanyak 11 peratus berbanding tahun sebelumnya. Secara keseluruhannya, sebanyak 1.6 juta kertas ujian dikeluarkan untuk calon, menunjukkan peningkatan sebanyak sembilan peratus.

Pengarah Urusan Kumpulan Pendidikan Antarabangsa di Cambridge, Rod Smith mengucapkan tahniah kepada calon dan para guru yang bekerja keras menyokong pendidikan pelajar mereka. "Dalam mendepani cabaran di peringkat global, sungguh mengharukan apabila menyaksikan lebih ramai anak muda memilih pendidikan antarabangsa bagi membantu mereka berkembang lebih maju dalam dunia yang sentiasa berubah," katanya.

Sains, matematik dan Bahasa Inggeris terus kekal menjadi subjek paling popular di peringkat global untuk kesemua jenis peperiksaan. Namun begitu, subjek seperti Pengurusan Alam Sekitar, Perspektif Global, Sains Marin dan Sains Komputer menunjukkan peningkatan dari segi tarikan minat dari para pelajar.

"Kami mendapati perkara ini adalah manifestasi kepada trend kepopularan subjek bukan konvensional, subjek yang lebih meluas dan sebenarnya lebih tertumpu kepada isu masa kini yang menarik minat golongan muda," ujar Smith. "Kelayakan perspektif global kami juga semakin bertambah. Bukanlah tetap hanya mengenai (topik) kemampanan, tetapi ia lebih fleksibel di mana pelajar boleh memilih topik global dan tema yang mencetuskan perdebatan di peringkat nasional dan antarabangsa."

Sementara itu, negara yang merekodkan bilangan kertas ujian tertinggi adalah Amerika Syarikat, China dan Pakistan, dengan masing-masing meningkat sebanyak 21 peratus, 17 peratus dan 7 peratus berbanding tahun lalu. Smith berkata peningkatan di beberapa negara luar adalah disebabkan berlakunya pertambahan bilangan sekolah antarabangsa yang menawarkan kurikulum Cambridge.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog