Jump to content

Wn/ms/Larangan produk udang di A.S., Indonesia kesan 22 kilang tercemar bahan Caesium-137

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Larangan produk udang di A.S., Indonesia kesan 22 kilang tercemar bahan Caesium-137

9 Oktober 2025 (Khamis)

JAKARTA - Sebanyak 22 fasiliti pembuatan dikesan tercemar dengan bahan radioaktif jenis Caesium-137 di kawasan perindustrian dekat Jakarta, demikian menurut pegawai berkuasa yang menjalankan siasatan dalaman mengenai pencemaran radioaktif.

Siasatan itu dijalankan berikutan notis yang dikeluarkan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) pada Julai mengenai larangan jual-beli dan pengedaran produk udang sejuk beku yang diimport dari syarikat tempatan, PT. Bahari Makmur Sejati. Menurut FDA, bahan Caesium-137 itu dikesan dari produk terjejas di beberapa rangkaian pasaraya utama.

Pasukan khas mengenai pencemaran radioaktif telah ditugaskan untuk menangani pencemaran terbabit. Aktiviti pengesanan radioaktif telah dijalankan di Kawasan Perindustrian Modern Cikande, lokasi kilang pengeluaran syarikat tersebut. "Proses nyahcemar telah dilakukan di fasiliti ini oleh badan bebas dan disahkan selamat oleh agensi nuklear," kata jurucakap pasukan khas, Bara Hasibuan kepada wartawan.

Pasukan khas juga mendapati sebuah kilang yang memproses besi skrap yang diimport milik syarikat PT PMT (Peter Metal Technology) tercemar dengan bahan itu dan pihak berkuasa telah menutup keseluruhan tapak kilang.

Sementara itu, sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa Indonesia dalam proses melakukan pemindahan sementara kepada orang ramai yang tinggal berdekatan titik sifar, selain mengadakan sekatan keluar masuk di kawasan terjejas. "Kita perlu lakukan proses pemindahan ini terlebih dahulu sehingga proses nyahcemar selesai," kata Menteri Alam Sekitar, Hanif Faisol Nurofiq di laman Facebook.

Menurut FDA, mereka yang terdedah dengan pencemaran Caesium-137 boleh mengakibatkan peningkatan kepada risiko kanser, walaupun dengan pengambilan yang sedikit dan berulang-ulang. Caesium-137 biasa dijumpai apabila berlakunya kemalangan nuklear atau kesan dari bom atom atau senjata nuklear.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog