Wn/ms/Laos siap sedia pengerusikan forum dan mesyuarat menteri ASEAN berkaitan tenaga
22 Ogos 2024 (Khamis)
VIENTIANE - Satu perbincangan telah dibuat di peringkat kementerian bagi melakukan persediaan menjadi tuan rumah untuk Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-42 yang dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 27 September.
Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Tenaga Dan Perlombongan Laos pada Rabu, acara berkenaan akan menjadi platform di peringkat antarabangsa serta pameran diwujudkan dalam mempromosikan pembangunan sektor tenaga untuk negara-negara ASEAN. Forum AEBF dijangka bakal mengumpulkan pihak berkepentingan dalam sektor tenaga ASEAN, termasuklah penggubal dasar, penyelidik dan pemain industri di rantau Asia Tenggara dan global dalam bertukar-tukar pandangan dan peluang menjalinkan kerjasama.
Fokus mesyuarat AMEM yang mengumpulkan kesemua menteri ASEAN dalam sektor berkaitan tenaga lebih tertumpu kepada aspek utama bentuk kerjasama tenaga dalam kalangan ASEAN, selain membincangkan tindakan yang akan dilaksanakan menerusi rancangan ASEAN dalam Fasa 2 Kerjasama Tenaga 2016-2025. Mesyuarat itu juga akan menilai hasil dan keperluan susulan daripada mesyuarat peringkat tertinggi ASEAN yang telah diadakan sebelumnya dan badan penyelarasan berkaitan.
Pada Jun, Laos telah dipilih sebagai tuan rumah Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) ke-24 dan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-42 anjuran ASEAN Centre for Energy (ACE) yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Nasional Laos. Ia merupakan sebahagian daripada peranan Laos sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2024 di bawah tema "ASEAN: Meningkatkan Ketersambungan dan Daya Tahan (ASEAN: Enhancing Connectivity and Resilience).
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Lao gears up to host 42nd ASEAN Ministers on Energy Meeting " — Vietnam+, 21 Ogos 2024
- (Inggeris) " Laos gears up to host 42nd ASEAN Ministers on Energy Meeting " — Newsroomodisha.com, 21 Ogos 2024
- (Inggeris) " The 24th ASEAN Energy Business Forum Set to be Hosted by Lao PDR’s Ministry of Energy and Mines and Organised by the ASEAN Centre for Energy " — ASEAN Centre for Energy, 28 Jun 2024