Jump to content

Wn/ms/Kumpulan Uzma lancar satelit cerap permukaan Bumi dalam resolusi tinggi, UzmaSAT-1

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Kumpulan Uzma lancar satelit cerap permukaan Bumi dalam resolusi tinggi, UzmaSAT-1

13 Ogos 2024 (Selasa)

PETALING JAYA - Malaysia bakal menambah satu satelit baharu di luar orbit Bumi apabila syarikat Bumiputera, Uzma Berhad melancarkan projek satelit UzmaSAT-1 hari ini. Ia dibangunkan menerusi kerjasama di antara Uzma dan syarikat dari Uruguay, Satellogic Inc.

Menerusi kerjasama itu, Uzma akan memanfaatkan akses kepada pengimejan berkuasa tinggi dan dalam resolusi yang lebih jitu daripada kumpulan satelit pemantau permukaan Bumi komersial terbesar di orbit Bumi yang dimiliki Satellogic, sejajar dengan matlamat kerajaan menerusi Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030 (MSE2030) dalam memajukan sektor angkasa dan menerokai teknologi berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Uzma, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed berkata projek yang menelan belanja ribuan dolar Amerika itu adalah salah satu matlamat mereka dalam mempelbagaikan hasil yang sebelum itu bergantung kepada pasaran minyak dan gas. "Pasaran minyak dan gas masih lagi menjadi penyumbang utama untuk Uzma," katanya. "Namun demikian, rancangan lima tahun akan datang ialah mempelbagaikan hasil jualan kerana pasaran itu bersifat tidak tetap dan kita perlu pastikan untuk mengimbangi perkara itu dengan menerokai pasaran baru."

Satelit UzmaSAT-1 memiliki berat sebanyak 45.4 kilogram dan saiznya agak kecil namun memiliki kamera multi-spektrum dengan resolusi ruangan sehingga 50 sentimeter. Satelit itu berupaya memproses data daripada cerapan ke atas permukaan Bumi, hasil daripada penggunaan teknologi kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin membolehkan analisis terperinci dijalankan dengan kapasiti ruangan sehingga 350,000 kilometer per segi.

Ketua Pegawai Eksekutif Geospatial AI Sdn. Bhd. Mohammad Fadhli Jamaluddin pula berkata, resolusi yang lebih jelas pada satelit itu boleh digunakan untuk memantau kesihatan pada pokok atau hasil tanaman selain digunakan untuk memantau projek ladang solar yang sedang dibina di Kedah. "Kita sedang membina ladang solar dengan kapasiti 50 megawatt sejak Januari. Dengan satelit ini, kita boleh memantau keadaan projek itu dari jauh tanpa perlu melawatnya," katanya.

Satelit berkenaan dijangka dilancarkan ke orbit Bumi pada separuh kedua 2024 menggunakan roket Falcon 9 milik SpaceX di Florida, Amerika Syarikat. Satelit itu kemudian diintegrasikan bersama kira-kira 42 satelit lain yang membentuk satu kumpulan besar dikawal Satellogic. Ia dilengkapi dengan tempoh pendaman rendah bagi tujuan respon pantas serta keupayaan melakukan tugas dan akses kepada pengimejan satelit dalam masa 6 jam.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog