Wn/ms/Kerja baik pulih kabel dasar laut di Laut Merah berdepan risiko serangan
19 Julai 2024 (Jumaat)
Kerja pembaikan ke atas kabel telekomunikasi dasar laut mula dijalankan di Laut Merah, walaupun selepas militan Houthi meningkatkan serangan ditujukan kepada kapal-kapal yang lalu di situ.
Kabel optik laluan Asia-Africa-Europe 1 (AAE-1) yang menghubungkan kawasan Asia Tenggara ke Eropah itu dibaiki kapal Niwa milik syarikat E-Marine, anak syarikat Kumpulan Telekomunikasi Emirates yang berpangkalan di Abu Dhabi. Menurut jurucakap kerajaan Yaman, kabel itu kembali beroperasi minggu ini.
Kabel AAE-1 sepanjang 25,000 kilometer itu adalah salah satu daripada beberapa kabel optik dasar laut di Laut Merah yang rosak atau putus disebabkan oleh sauh dari kapal-kapal yang ditenggelamkan kumpulan militan itu pada lewat Februari. Dua lagi kabel laluan SEACOM dan EIG sedang dibaiki oleh kapal sama.
Sebelum itu, rundingan untuk memulakan kerja pembaikan ke atas kabel yang rosak berdepan kesukaran kerana infrastruktur terbabit terletak di perairan Yaman. Disebabkan kerajaan Yaman terbahagi kepada dua bahagian dan kawasan Laut Merah dikategorikan sebagai zon konflik, rundingan selama berbulan-bulan diadakan di antara pengendali kabel serta dua kumpulan yang mentadbir Yaman; kerajaan yang disokong antarabangsa di bahagian selatan dan kerajaan yang disokong Houthi di Sanaa.
"Itu ialah antara laluan data terbesar yang menghubungkan Eropah, Timur Tengah, India dan Asia," kata Roderick Beck, seorang perunding kapasiti rangkaian untuk kabel dasar laut. "Kegagalan itu memaksa pengendali melakukan perubahan trafik sepenuhnya dengan membangunkan laluan digital baru dicantum bersama menggunakan kabel baru yang menelan kos yang agak tinggi serta kerahan tenaga kerja setiap masa."
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Finally, progress with Red Sea cable repairs " — TechCentral, 17 Julai 2024
- (Inggeris) " Damaged Internet Subsea Cables Repaired in Red Sea Amid Militant Attacks on Ships " — CircleID, 17 Julai 2024
- (Inggeris) Olivia Solon, Mohammed Hatem. " Damaged Internet Subsea Cables Repaired in Red Sea Amid Militant Attacks on Ships " — Bloomberg, 17 Julai 2024