Wn/ms/Keris berusia 200 tahun antara tarikan Festival Keris dan Warisan Kelantan 2024
15 Julai 2024 (Isnin)
KOTA BHARU - Keris yang mencecah usia 200 tahun merupakan antara tarikan utama acara Festival Keris dan Warisan Kelantan yang diadakan bermula semalam sehingga hujung bulan ini.
Keris yang dipamerkan itu adalah sebahagian daripada koleksi orang perseorangan dan persatuan-persatuan. Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra juga berkenan mengurniakan tiga bilah keris dari koleksi peribadi baginda untuk dipamerkan dalam festival yang julung kali diadakan iaitu keris panjang, keris tajong bertatah emas dan keris sepokal berwifik.
Penasihat Persatuan Seni Purba dan Kraftangan Kelantan Mohd Noordin Abdul Hamid berkata keris yang dihasilkan oleh Tok Chu merupakan keris unik yang turut dipamerkan. "Dikatakan keris Tok Chu ini apabila membelah tempayan, tempayan itu tidak pecah tetapi bilah keris itu dapat menembusinya. Ini menunjukkan betapa kerasnya besi keris Tok Chu ini," katanya kepada pemberita.
Festival itu diadakan bersempena dengan Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK2024) bertujuan untuk menarik minat pengunjung khususnya generasi baru dalam mengenali keunikan seni warisan yang dipelihara turun-temurun. Institusi Kesultanan Kelantan juga memberi sokongan kepada inisiatif itu yang berharap agar ia menjadi rujukan dalam kajian ilmiah dan penyelidikan.
Sejumlah 300 bilah keris dipamerkan di Istana Balai Besar dan ia dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula pukul 9 pagi sehingga 9 malam. Masuk adalah percuma.
Sumber
[edit | edit source]- (Melayu) "Festival Keris dan Warisan Kelantan pamer 300 keris" — Harakah Daily, 14 Julai 2024
- (Melayu) "Keris Tok Chu tarikan Festival Keris dan Warisan Kelantan" — Astro Awani, 15 Julai 2024