Wn/ms/Kerajaan belum bercadang laksanakan program vaksinasi jangkitan cacar monyet
20 Ogos 2024 (Selasa)
GEORGE TOWN - Kerajaan belum bercadang untuk melaksanakan program vaksinasi untuk penyakit Mpox atau cacar monyet kepada rakyat, demikian menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memantau rapat perkembangan kes jangkitan Mpox baharu, namun setakat ini tiada perbincangan dibuat mengenai program itu. "Setakat ini, kita belum lagi melihat akan keperluan melaksanakan program vaksin dan jika ada sekalipun, kita akan mengkaji dengan teliti berkenaan Mpox ini," ujar beliau.
Menurutnya, jangkitan Mpox boleh dielak dengan mematuhi garis panduan kesihatan yang telah dikeluarkan KKM. Ini termasuklah mencegah penyebaran virus dengan mengamalkan penjagaan kebersihan kendiri serta amalan pencegahan lain.
"Kebiasaannya, seseorang yang dijangkiti Mpox akan menampakkan simptom dengan jelas melalui tanda fizikal seperti bintik-bintik pada badan dan pesakit boleh merasai sendiri kesannya," tambahnya.
Mengulas lanjut mengenai kes Mpox, beliau berkata setakat ini tiada kes baharu direkodkan di dalam negara, selain tiada halangan untuk rakyat ke luar negara. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan rakyat perlulah mengambil langkah berwaspada bagi mengelakkan sebarang jangkitan semasa mereka berada di luar Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan sedang melaksanakan kawalan yang lebih ketat di kesemua pintu masuk dan sempadan negara sebagai langkah kawalan penularan jangkitan oleh pengunjung dari luar negara. "Proses yang kita lakukan ini adalah sama seperti ketika pandemik COVID-19. Kesemua langkah kawalan telah dilakukan oleh agensi berkaitan, terutamanya di pintu masuk imigresen, lapangan terbang dan juga di sempadan dan kami akan merujuk kepada pihak-pihak ini jika terdapat keperluan."
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Govt not proposing to implement mpox vaccination prog in Malaysia " — The Sun, 20 Ogos 2024
- (Inggeris) " No plans for mpox vaccination in Malaysia — deputy minister " — The Edge Malaysia, 20 Ogos 2024
- (Inggeris) " No immediate plan for Mpox vaccination, says Lukanisman " — The Star, 20 Ogos 2024