Wn/ms/Kementerian arah buang aplikasi Mobile Guardian susulan insiden kebocoran akses
6 Ogos 2024 (Selasa)
SINGAPURA - Kementerian Pendidikan Singapura (MOE) menerusi satu kenyataan mengumumkan aplikasi "Mobile Guardian" akan dibuang dari kesemua peranti pembelajaran peribadi yang dibekalkan kepada para pelajar. Ini selepas laporan mengenai kebocoran akses yang melibatkan aplikasi itu pada Ahad.
Aplikasi "Mobile Guardian" digunakan secara meluas oleh ibubapa bagi mengawal peranti anak mereka seperti mengehadkan penggunaan dan akses kepada aplikasi dan laman web yang spesifik. Laporan potensi kebocoran data di peringkat global itu melibatkan sekurang-kurangnya 13,000 murid di 26 buah sekolah menengah seluruh negara.
Pada lewat malam Ahad, kementerian menerima aduan mengenai gangguan teruk yang dialami pelajar yang menggunakan peranti pembelajaran iPad atau Chromebook yang dibekalkan kerajaan. Mereka tidak dapat mengakses aplikasi yang dipasang selain tidak boleh mendapatkan maklumat yang disimpan di dalam peranti tersebut.
Semakan yang dibuat kementerian mendapati, siasatan di peringkat pengendali aplikasi itu mengesan kebocoran akses tidak dibenarkan di platform mereka yang menjejaskan pengguna di peringkat global, termasuklah di Singapura. Penggodam melakukan akses kawalan jauh dan memadam maklumat dari peranti yang terjejas.
Kementerian juga memaklumkan tiada bukti yang menunjukkan fail pelajar telah dibocorkan. "MOE sedang bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memberi sokongan kepada pelajar yang terkesan, termasuklah menempatkan pasukan IT lapangan ke sekolah dan menyediakan sumber pembelajaran tambahan."
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Gabrielle Chan. " MOE to remove Mobile Guardian app from all students’ devices after global cyber-security breach " — The Straits Times, 5 Ogos 2024
- (Inggeris) Samiksha Jain. " Singapore MOE Orders Removal of Mobile Guardian App After Data Breach " — The Cyber Express, 5 Ogos 2024
- (Inggeris) " Ministry to remove Mobile Guardian app from all students’ devices after cyber-security breach " — The Star, 5 Ogos 2024
- (Inggeris) Daniel Seow. " MOE orders Mobile Guardian app removal after 13,000 S'pore students get devices wiped remotely " — Mothership.sg, 5 Ogos 2024