Jump to content

Wn/ms/Kelab Thailand, BG Pathum United tumpaskan gergasi Jerman, Borussia Dortmund

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Kelab Thailand, BG Pathum United tumpaskan gergasi Jerman, Borussia Dortmund

22 Julai 2024 (Isnin)

Kelab Liga Thai 1, BG Pathum United menghadiahkan kemenangan mengejut kepada peminat yang hadir di Stadium Leo, Pathum Thani apabila pasukan itu mengalahkan kelab Bundesliga, Borussia Dortmund dalam aksi persahabatan semalam. Beberapa pemain utama seperti Julian Brandt, Niklas Süle, Felix Nmecha, Karim Adeyemi, and Julian Ryerson diturunkan dalam perlawanan itu manakala bagi pasukan The Rabbit, pengurus pasukan meletakkan pemain Jaroensak Wonggorn yang baru dibeli dari kelab Muangthong United di bangku simpanan.

The Rabbit membuat serangan ke kubu Dortmund seawal minit pertama apabila berlaku kesilapan hantaran dari Niklas Sule yang membolehkan pemain sayap Chanathip Songkrasin memintas bola itu dan meluru ke gawang gol sebelum dia melakukan hantaran kepada Melvyn, namun rembatannya menuju tepat kepada penjaga gol, Alexander Meyer.

Walau bagaimanapun, Melvyn berjaya membuka jaringan untuk pasukan BG Pathum pada minit ke-14 setelah dia menyudahkan hantaran ke depan dari Sivakorn Tiatrakul. Minit ke-43 menyaksikan The Rabbit menambah gol setelah hantaran silang dari Melvyn berjaya ditanduk pemain negara Teerasil Dangda menerjah ke gawang Dortmund.

BG Pathum selesa mendahului 2 gol berbalas kosong setelah tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Dortmund cuba memperkemaskan di bahagian serangan namun percubaan Julian Hettwer pada minit ke-51 dan Sebastien Haller pada minit ke-55 berjaya dipatahkan penjaga gol, Saranon Anuin. Stadium bergema pada minit ke-65 apabila pemain Jaroensak Wonggorn yang dibawa masuk melakukan rembatan cantik menerjah gawang hasil hantaran dari pemain import, Lars Veldwijk.

Jaroensak Wonggorn sekali lagi menyumbang gol untuk pasukan apabila aksi larian yang dipertunjukkannya berakhir dengan rembatan kencang menumpaskan Meyer. Minit ke-90 tamatnya perlawanan yang berkesudahan BG Pathum menewaskan Dortmund dengan jaringan 4-0.

Itu merupakan kekalahan pertama bagi pengurus baru Dortmund, Nuri Sahin yang mengambil alih dari Edin Terzic selepas dia meletakkan jawatan susulan kekalahan kepada Real Madrid dalam perlawanan akhir Champions League bulan lalu.


Sumber

[edit | edit source]
Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog