Jump to content

Wn/ms/Kebakaran pusat data di Korea Selatan, jejaskan ratusan perkhidmatan kerajaan atas talian

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Kebakaran pusat data di Korea Selatan, jejaskan ratusan perkhidmatan kerajaan atas talian

26 September 2025 (Ahad)

SEOUL - Kebanyakkan laman sesawang rasmi kerajaan Korea Selatan tidak dapat diakses berikutan satu kebakaran berlaku yang melibatkan pusat data nasional pada Jumaat. Insiden itu menyebabkan sejumlah perkhidmatan kerajaan atas talian tidak dapat digunakan orang ramai.

Laporan agensi berita tempatan menyebut, kebakaran berpunca daripada letupan salah satu bateri litium pada pembekal kuasa sandaran (UPS) sewaktu kerja penyelenggaraan sedang dijalankan di Pusat Perkhidmatan Sumber Maklumat Nasional dekat Daejeon kira-kira 130 kilometer dari selatan Seoul. Letupan itu berlaku dianggarkan pada jam 8:20 malam waktu tempatan.

Kim Min-jae, Timbalan Menteri Dalam Negeri melalui sidang akhbar memberitahu, pada awalnya kebakaran itu mengakibatkan kegagalan sistem pelayan yang menyediakan lebih kurang 70 perkhidmatan kerajaan. Namun kerajaan bertindak menutup kesemua sistem pelayan sebagai langkah perlindungan daripada haba yang terlalu tinggi dan kegagalan sistem pengesan haba dan kelembapan akibat daripada kebakaran tersebut.

"Sistem pengesan haba dan kelembapan kini sedang dipulihkan," kata Min-jae. "Selepas ia selesai, kerajaan akan merangka rancangan memulihkan kembali kesemua sistem pelayan yang terjejas."

Kira-kira 200 anggota bomba dan lebih 60 jentera dikerahkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran, namun suhu yang terlalu tinggi dan asap tebal pada laluan di dalam pusat data menyukarkan pergerakan anggota ke lokasi terjejas. Kebakaran kemudian berjaya dikawal selepas 10 jam, iaitu pada Sabtu pukul 6:30 pagi waktu tempatan.

Beberapa perkhidmatan kerajaan atas talian berjaya dipulihkan melalui penggunaan sistem pelayan sandaran. Walaupun begitu, kerja-kerja pemulihan sistem bakal mengambil masa yang lebih lama akibat daripada risiko kebakaran semula akibat suhu persekitaran yang masih tinggi selain hampir semua perkhidmatan kritikal kerajaan dipusatkan hanya ke satu lokasi sahaja.

Kim Min-seok, Perdana Menteri, membuat permohonan maaf kepada rakyat atas kesulitan yang dihadapi akibat daripada insiden itu, serta memberi jaminan pemulihan dilakukan dengan kadar segera.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog