Jump to content

Wn/ms/Kawasan Sandakan menamakan calon pilihan raya

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Kawasan Sandakan menamakan calon pilihan raya
Sabtu, 15 November 2025
Laporan asli: Taufik
Kawasan Sandakan menamakan calon pilihan raya
Sabtu, 15 November 2025
Laporan: Taufik

 

Sandakan - Calon-calon telah dinamakan bertanding untuk kerusi N.55 Elopura dan N.56 Tanjong Papat pada hari ini. Calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah menyerahkan borang pencalonan tepat pada 9 pagi di Pusat Penamaan Calon di Wisma Tay Chee Ming, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina) Tiong Hua.

Pusat Penamaan Calon bagi N.55 Elopura dan N.56 Tanjong Papat.

Penyokong parti bagi kedua-dua kawasan membanjiri Jalan Lintas Utara menuju ke Jalan Utara dengan mengibarkan bendera masing-masing. Jentera daripada lapisan masyarakat dan umur telah berhimpun sejak awal pagi termasuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Maju Sabah (SAPP), Perjuangan Rakyat, Parti Warisan Sabah, Parti Impian Sabah (PIS) dan Pakatan Harapan (PH).

Calon N.56 Tanjong Papat dari SAPP ialah calon terawal menyerahkan borang pencalonan.

Calon terawal yang menyerahkan borang pencalonan untuk N.55 Elopura ialah Mohd Firdaus Silvester Abdullah dari Perikatan Nasional (PN) ialah calon terawal yang menyerahkan borang pencalonan iaitu pada 9.02 pagi. Manakala untuk N.56 Tanjong Papat pula ialah Henley Liew Yun Ye dari Parti Maju Sabah. Penyerahan borang pencalonan ditutup pada 10 pagi.

Kira-kira 11.15 pagi, semua calon mencabut undi untuk menentukan kedudukan calon pada kertas undi nanti. Setiap calon bergilir mencabut bola pingpong yang bernombor mengikut waktu penyerahan borang pencalonan. Setelah itu, setiap calon diminta membuat pengesahan nama dan simbol yang digunakan pada kertas undi. Pegawai pengurus pilihan raya mengisytiharkan kesemua permohonan calon diterima untuk bertanding dalam pilihan raya ini kira-kira 11.45 pagi.

Selepas diberi taklimat daripada pegawai pengurus pilihan raya, para calon mula keluar dari Pusat Penamaan Calon untuk menyantuni para penyokong di luar pusat kira-kira 12 tengah hari yang bermula dengan calon-calon daripada Pakatan Harapan.

Para calon PH berarak keluar daripada Pusat Penamaan Calon.

Dalam pilihan raya sebelumnya, kerusi N.55 Elopura dimenangi oleh Calvin Chong Ket Kiun dari Pakatan Harapan. Beliau telah bertukar parti ke Parti Warisan Sabah pada 2022 dan akan bertanding sekali lagi berhadapan dengan enam calon lain iaitu Jeffrey Chung Cheong Yung (PIS), Lita Tan Abdullah (bebas), Mohd Firdaus Silvester Abdullah (Perikatan Nasional, PN), Liau Fui Fui (KDM), Wong Hon Kong (PPRS) dan Vivian Wong Shir Yee (PH).

Sebelum ini, kerusi N.56 Tanjong Papat dipegang oleh Frankie Poon Ming Fung dari Pakatan Harapan. Beliau bertanding sekali lagi untuk penggal ini tetapi di bawah Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat. Beliau akan bertanding dengan tujuh calon lain iaitu Mohd Yunus Apil (Perjuangan Rakyat), Tang Szu Ching (PH), Suhaimi Ramli (Parti Kebangsaan Sabah), Jainudin Berahim (PIS), Henley Liew Yun Ye (SAPP), Koa Wei Yang (PN) dan Alex Thien Ching Qiang (WARISAN).

Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog