Wn/ms/Kamus Dewan Perdana dalam talian dalam ujian akhir, lancar awal 2026
SERDANG - Kamus Dewan Perdana boleh dilayar secara dalam talian mulai awal tahun depan dengan pelancaran gerbang KamusDBP maya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan, kamus dalam talian tersebut kini dalam tahap ujian akhir dan boleh diuji oleh orang awam semasa program-program anjuran DBP.
Beliau mengumumkan demikian semasa pelancaran Seminar Leksikografi, Ensiklopedia dan Terminologi (SELEKSI) di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini, yang dianjur bersama oleh DBP dan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM sepanjang dua hari.
Pihak DBP turut membuka reruai di ruang legar seminar tersebut di mana orang awam boleh menguji KamusDBP maya tersebut menggunakan peranti khas DBP.
Antara ciri baharu KamusDBP maya ini termasuklah statistik carian tertinggi harian yang dikemas kini setiap 12 jam berdasarkan trend carian dalam kalangan pengguna kamus maya.
Setiap masukan kata kini diberi nombor pengenalannya tersendiri, dan dipaparkan secara lebih tersusun apabila sebarang carian dibuat. Hasil carian dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu kata entri (termasuk pecahan frasa dan peribahasa), kata terbitan (termasuk pecahan frasa dan peribahasa) dan asal usul kata.
Sebutan dan ejaan Jawi kata juga disertakan bagi setiap masukan bersama-sama takrifan dan contoh penggunaannya. Setiap kependekan seperti kelas kata dan dialek juga mempunyai ciri di mana pengguna boleh mengatung kursor ke atas kependekan untuk mendapat keterangannya.
Selepas dilancarkan pada awal 2026 nanti, orang awam dapat mencapainya secara percuma buat satu tempoh terhad, sebelum memerlukan langganan berbayar kelak. Kadar bayaran langganan belum diumumkan pihak DBP dan akan dimaklumkan kepada orang ramai dalam masa terdekat.
Menurut seorang kakitangan DBP yang ditemui di SELEKSI, pihaknya mengalu-alukan orang ramai untuk menguji cuba kamus dalam talian tersebut di program-program DBP untuk memberi maklum balas bagi penambahbaikan sistem tersebut.
Pihak DBP juga berancang untuk mengembangkan gerbang tersebut dengan kandungan daripada kamus-kamus lain kelak.
- Reruai DBP yang memberi peluang untuk menguji cuba KamusDBP maya.
- Segala kandungan daripada Kamus Dewan Perdana tersedia dalam gerbang KamusDBP maya tersebut, dengan kamus-kamus lain dijangka ditambah secara beransur-ansur.
- Sasterawan Negara, Dato' Dr. Anwar Ridhwan mengumumkan hal ini semasa majlis perasmian Seminar Leksikografi, Ensiklopedia dan Terminologi hari ini.
- Seminar Leksikografi, Ensiklopedia dan Terminologi ini dirasmikan oleh Dato' Dr. Haji Megat Sany bin Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi.



