Wn/ms/Kabinet setuju isytihar darurat kesihatan
23 Oktober 2020 (Jumaat)
Putrajaya - Kabinet telah bersetuju dengan pelaksanaan “darurat kesihatan” bagi menangani penularan Covid-19 di Malaysia.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya tadi.
“Tunggu pengumuman,” kata seorang ahli jemaah menteri yang enggan namanya didedahkan ketika dihubungi oleh akhbar Malaysiakini.
Langkah itu diambil susulan ketidaktentuan berterusan dalam negara dan ketika Muhyiddin berdepan desakan daripada luar dan dalam.
Sementara itu, memetik sumber, The Malaysian Insight melaporkan perkataan “darurat” itu harus dipakejkan semula supaya tidak mencetuskan rasa panik di kalangan rakyat.
“Mereka tak akan panggil darurat, tetapi nama baru lain. Sesuatu yang berkaitan dengan Covid-19,” menurut sumber itu.
Terkini, Muhyiddin ke Istana Abdul Aziz, Kuantan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan baginda.
Bagaimanapun, perkara ini masih tidak dapat disahkan.
Sementara itu, PN BBC Portal melaporkan kerajaan akan mengumumkan “darurat kesihatan” dalam tempoh terdekat bagi lebih tumpuan kepada usaha menangani isu penularan Covid-19.
Memetik sumber, portal rasmi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) itu berkata Muhyiddin sudah mendapatkan pandangan polis, tentera, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Peguam Negara, dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia bukan perintah berkurung dan mereka masih boleh keluar dari rumah untuk membeli barangan keperluan harian seperti biasa dengan syarat perlu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” katanya
Sumber
[edit | edit source]- "Covid-19: Kabinet setuju 'darurat'" — Malaysiakini, 23 Oktober 2020
- Mohamad Shofi Mat Isa. "PM mengadap Agong di Kuantan" — Utusan Digital, 23 Oktober 2020