Jump to content

Wn/ms/Jon Bon Jovi mengesahkan dia tidak terlibat dengan konsert jelajah Bon Jovi

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Jon Bon Jovi mengesahkan dia tidak terlibat dengan konsert jelajah Bon Jovi

9 Jun 2024 (Ahad)

Jon Bon Jovi, vokalis utama kumpulan Bon Jovi mengesahkan dia tidak dapat melibatkan diri dalam jelajah promosi album terbaru mereka, Forever yang dikeluarkan pada Jumaat. Ini berikutan dia masih lagi dalam proses pemulihan akibat pembedahan yang dilaluinya tahun 2022.

Jon Bon Jovi (2017)
Imej: slgckgc.

Bercakap kepada The Guardian, Jon berkata proses pemulihannya masih lagi berterusan. "Tidak ada keajaiban. Saya cuma berharap ia boleh sembuh dengan hanya memetik suis. Saya lebih daripada mampu untuk menyanyi sekali lagi. Had saya sekarang, adakah saya boleh melakukannya selama dua setengah jam untuk satu malam, selama empat malam seminggu? Jawapannya adalah tidak."

Walaupun konsert jelajah bukan pilihannya, Jon berkata dia masih lagi berazam untuk terus bekerja. "Selagi saya masih berupaya, saya akan menulis lagu dan menerbitkan rakaman."

Pada 2022, Jon dilaporkan menjalani pembedahan membina semula akibat salah satu daripada pita vokalnya lemah. Dia kemudian bertemu seorang doktor yang mencadangkan prosedur yang dikenali sebagai medialisasi bagi merawat suaranya kembali normal, namun proses pemulihan itu mengambil masa yang lama. "Saya masih lagi dalam pemulihan. Bukan mudah apabila berdepan kesukaran tiap-tiap hari, namun saya lebih daripada mampu untuk lakukannya," katanya semasa sesi wawancara selepas tayangan awal dokumentari Thank you, Goodnight: The Bon Jovi Story pada April.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog