Jump to content

Wn/ms/Jaringan pemain Myanmar, Maung Maung Lwin tumpaskan Manchester United

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Jaringan pemain Myanmar, Maung Maung Lwin tumpaskan Manchester United

29 Mei 2025 (Khamis)

KUALA LUMPUR - Pasukan ASEAN All-Stars yang menghimpunkan pemain-pemain kebangsaan bagi negara di bawah kesatuan ASEAN menjadi bualan di seluruh dunia apabila mereka menewaskan kelab bola sepak Manchester United dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil malam tadi.

Pada babak pertama, pasukan ASEAN All-Stars bermula garang apabila pemain kebangsaan Vietnam, Nguyen Hai Long melakukan percubaan ke arah pintu gol United yang dikawal Andre Onana pada minit ke-6, namun tersasar. United cuba menggandakan asakan ke kubu pasukan lawan yang dikawal Patiwat Khammai apabila Koobie Mainoo melakukan percubaan pada minit ke-33 dan 37, namun Patiwat berjaya menyelamatkan keadaan.

Memasuki babak kedua, pengurus United, Ruben Amorim melakukan pertukaran dengan memasukkan pemain sayap, Alejandro Garnacho dan pemain tengah, Bruno Fernandes dalam usaha untuk membuka jaringan. Namun begitu, ASEAN All-Stars terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-71 apabila pemain kebangsaan Myanmar, Maung Maung Lwin berjaya menyudahkan hantaran cantik daripada Adrian Segecic dan menewaskan penjaga gol United, Tom Heaton.

Tersentak dengan jaringan tersebut, United cuba bangkit dengan melakukan serangan demi serangan ke kubu lawan. Dua percubaan dilakukan Jim Thwaites pada minit ke-75 dan Amad Diallo pada minit ke-81, namun kesemuanya tersasar. Tiada tambahan jaringan dilakukan kedua-dua pasukan sehingga wisel penamat.

Seramai 72,550 kehadiran direkodkan termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan sendiri kekalahan United kepada pasukan kendalian ketua jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik itu di mana mereka hanya dihimpunkan kurang daripada 48 jam sebelum perlawanan. Piala Cabaran Maybank 2025 yang menjadi trofi untuk perlawanan kali ini disampaikan Anwar kepada pasukan ASEAN All-Stars.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog