Jump to content

Wn/ms/Jabatan Perikanan Teluk Nkhata rampas dan bakar lebih 60,000 peralatan tangkap ikan haram

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Jabatan Perikanan Teluk Nkhata rampas dan bakar lebih 60,000 peralatan tangkap ikan haram

16 Ogos 2024 (Jumaat)

MZUZU - Dalam usaha membasmi aktiviti menangkap ikan secara haram di daerah Teluk Nkhata, Jabatan Perikanan telah membakar lebih 60,000 peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan aktiviti itu sekitar Tasik Malawi.

Inisiatif itu mendapat kerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ripple Africa bersama pihak berkuasa tempatan melakukan serbuan di beberapa lubuk menangkap ikan serta merampas kesemua peralatan haram yang dianggarkan berjumlah kira-kira 40 juta Kwacha Malawi (RM102,096).

Pesuruhjaya Daerah Teluk Nkhata, Rodgers Newa berkata inisiatif itu bertujuan menguatkuasakan undang-undang serta memberi kesedaran kepada orang awam tentang penggunaan peralatan yang sesuai bagi melindungi kehidupan akuatik. "Kami menjumpai banyak peralatan haram untuk menangkap ikan digunakan di Tasik Malawi, bertentangan dengan undang-undang di bawah Akta Perikanan," katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa telah melakukan rondaan sebelum merampas peralatan itu dan membakarnya supaya ia tidak lagi boleh digunakan. Selain itu, peralatan haram itu juga berupaya menangkap ikan yang lebih kecil yang membawa kesan kepada kurangnya habitat dalam air dan akhirnya menjejaskan kutipan hasil daripada peraih yang sah.

Sementara itu, Pengarah Negara Ripple Africa, Force Ngwira menyatakan sokongan kepada inisiatif yang dijalankan pihak berkuasa daerah dan menekankan kepada kepentingan memelihara populasi ikan untuk generasi akan datang. "Peranan kami adalah menyokong Majlis Daerah Teluk Nkhata dari segi kewangan kerana mereka perlukan sumber kewangan untuk melakukan rondaan dan merampas peralatan haram," katanya.

Proses membakar peralatan yang dirampas itu dilakukan di sebuah kawasan Tapak Pelupusan Sampah Nkhafu sambil diperhatikan oleh pihak berkaitan.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog