Jump to content

Wn/ms/Israel, Hezbollah berbalas serangan udara, konflik Timur Tengah kian meruncing

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Israel, Hezbollah berbalas serangan udara, konflik Timur Tengah kian meruncing

26 Ogos 2024 (Isnin)

BEIRUT - Konflik di Timur Tengah semakin meruncing apabila pasukan Hezbollah melancarkan beberapa siri serangan udara yang mensasarkan Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan seorang komander kanan mereka, Fuad Shukr pada Julai lalu.

Israel berkata, mereka telah melancarkan serangan udara yang mensasarkan selatan Lubnan ketika ia mengesan pergerakan Hezbollah yang sedang melakukan persediaan melancarkan serangan ke atas utara Israel. Dakwanya, serangan itu berlaku bagi "mempertahankan rakyat". Siren kecemasan mula kedengaran setelah sistem pengesan pertahanan udara Israel, Iron Dome mengesan dan menembak jatuh roket-roket dari Lubnan.

Hezbollah pula berkata mereka telah melancarkan lebih 320 roket jenis Katyusha yang ditujukan kepada beberapa pangkalan tentera Israel, termasuklah pangkalan di Glilot dekat Tel Aviv, di Meron dan di Golan Heights yang dijajah.

Sementara itu, pasukan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa mereka telah memusnahkan ribuan laras pelancar roket di lebih 40 kawasan di selatan Lubnan dengan menggunakan kekuatan sekitar 100 jet pejuang.

Agensi berita Lubnan, NNA melaporkan seorang mangsa mengalami kecederaan kritikal susulan serangan dron Israel di Sharjah manakala seorang mangsa pula terbunuh dalam serangan udara yang ditujukan di bandar Khiam.

Pegawai tentera Israel memberitahu CNN, seorang tentera laut terbunuh manakala dua lagi cedera namun tidak dapat dipastikan sama ada mereka terkena serangan yang dilancarkan Iron Dome atau terkena serpihan objek yang ditembak jatuh.

Sejak berlakunya konflik terbaru di Gaza bermula Oktober tahun lepas, pasukan Hezbollah dan Israel kerap melakukan serangan balas di sempadan Israel-Lubnan hampir setiap hari. Serangan yang tercetus pagi Ahad itu merupakan serangan berskala terbesar sejak konflik di antara mereka bermula 2006.

Konflik di Timur Tengah kian meruncing selepas pembunuhan ke atas Shukr dan yang terbaru, Ismail Haniyeh di Tehran menyebabkan pemimpin Hamas, Hezbollah dan Iran berikrar untuk memastikan Israel menerima pembalasan akibat perbuatan mereka itu. Manakala Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Joe Biden berkata mereka akan terus "menyokong hak Israel untuk mempertahankan dirinya".


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog