Jump to content

Wn/ms/Insiden letupan tayar pesawat di Atlanta, dua maut manakala seorang lagi cedera parah

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Insiden letupan tayar pesawat di Atlanta, dua maut manakala seorang lagi cedera parah

29 Ogos 2024 (Khamis)

ATLANTA - Dua maut manakala seorang lagi cedera parah dalam insiden tayar meletup di fasiliti penyelenggaraan Delta TechOps milik syarikat penerbangan Delta Airline dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta pada pagi Selasa.

Beberapa jentera Jabatan Bomba Atlanta dan polis dikejarkan ke lokasi kira-kira pukul 5 pagi waktu tempatan selepas menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu. Menurut pihak berkuasa, tayar pesawat tiba-tiba meletup semasa pekerja terbabit menukar tayar tersebut bagi tujuan penyelenggaraan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Delta Airline, mereka menjelaskan letupan berlaku ketika komponen pada tayar sedang diselenggara di sebuah fasiliti penyelenggaraan tayar dan brek. Delta kemudian mengesahkan pesawat Boeing 757 terbabit tidak terjejas ekoran letupan itu berlaku di fasiliti tersebut.

Dua mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mirko Marweg, 58 tahun, dan Luis Aldarondo Jr, 37 tahun. Sementara identiti mangsa yang cedera parah tidak didedahkan. Ketiga-tiga mangsa merupakan pekerja Delta Airline. Menurut anak Marweg, jasad ayahnya hampir tidak dapat dikenalpasti dan ahli keluarga hanya dapat mengecam mayat itu berdasarkan kepada imej tatu dan lanyard yang dipaki di lehernya.

Presiden dan Ketua Operasi Delta TechOps, John Laughter menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden itu. "Dengan perasaan sedih, saya ingin berkongsi khabar di mana tiga pekerja TechOps terlibat dalam kemalangan yang berlaku awal pagi di Atlanta TOC 3, Dept. 391 - Wheel & Brake Shop," katanya menerusi kenyataan. "Malangnya, dua daripada pasukan kita terbabit telah meninggal dunia dan seorang lagi mengalami cedera parah. Kami sedang menghulurkan sokongan penuh kami kepada keluarga mereka pada masa yang sukar ini dan menjalankan siasatan untuk menentukan apa yang berlaku."

Sementara itu, badan Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) berkata mereka telah membuka kertas siasatan berkenaan insiden itu. Setakat ini, punca letupan masih lagi dalam siasatan.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog