Jump to content

Wn/ms/Gempa bumi dengan magnitud 7.1 gegar selatan Jepun, amaran tsunami dikeluarkan

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Gempa bumi dengan magnitud 7.1 gegar selatan Jepun, amaran tsunami dikeluarkan

8 Ogos 2024 (Khamis)

TOKYO - Gempa bumi dengan magnitud 7.1 menggegarkan kawasan pantai di wilayah Miyazaki pada Khamis dengan amaran tsunami dikeluarkan di sebahagian kawasan pesisir pantai di Kyushu dan Shikoku. Agensi Meteorologi Jepun (JMA) turut mengeluarkan amaran potensi gempa bumi di Nankai Trough yang terletak di bahagian barat Jepun.

JMA berkata gempa bumi itu mula dirasai kira-kira pukul 4:43 petang waktu tempatan dengan kedalaman sebanyak 30 kilometer. Ia berpusat di dalam perairan Laut Hyuganada. Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pada mulanya melaporkan terdapat dua gegaran dengan magnitud 6.9 dan 7.1, tetapi kemudian melaporkan terdapat satu gegaran sahaja.

Beberapa ombak kecil telah direkodkan kesan gempa itu. Tsunami setinggi 50 sentimeter direkodkan di Pelabuhan Miyazaki pukul 5:14 petang, disusuli dengan ombak setinggi 40 sentimeter di Pelabuhan Aburatsu pukul 5:23 petang kemudian ombak setinggi 30 sentimeter berlaku di Tosashimizu pukul 5:46 petang. Amaran tsunami telah ditarik balik pukul 10 malam.

Agensi Kebakaran dan Pengurusan Bencana melaporkan seramai sembilan orang cedera dalam insiden itu merangkumi wilayah Miyazaki dan Kagoshima setakat pukul 7:30 petang waktu tempatan. Tujuh daripadanya hanya mengalami cedera ringan kerana terjatuh atau terkena objek sementara dua lagi tidak diketahui.

Rakaman video yang diterbitkan di laman sosial menunjukkan gegaran menyebabkan barang-barang seperti pinggan, mangkuk dan buku jatuh berselerakan, namun kebanyakkan bangunan tidak mengalami rosak teruk. Jurucakap kerajaan kemudian mengesahkan infrastruktur termasuklah bekalan elektrik, air dan telekomunikasi tidak terjejas.

Menerusi sidang akhbar selepas itu, JMA mengingatkan orang ramai di kawasan terlibat untuk mengambil langkah berjaga-jaga terhadap gempa bumi yang berkemungkinan akan berlaku pada dua atau tiga hari kemudian. Mereka juga sedang memantau dengan teliti akan sebarang aktiviti melibatkan pergerakan plat Bumi berdekatan Nankai Trough yang berpotensi mencetuskan gempa bumi dengan magnitud yang lebih besar.

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida pula berkata kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas khas di bawah pimpinan Menteri Pengurusan Bencana, Yoshifumi Matsumura. Beliau menggesa rakyat yang terlibat agar bersiap sedia sekiranya gempa Bumi Nankai Trough berlaku. "Saya menggesa semua orang agar sentiasa menyemak maklumat terkini daripada kerajaan, amalkan langkah kesiapsiagaan asas bencana dan bersiap sedia untuk berpindah segera sekiranya berlaku gempa bumi," katanya.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog