Jump to content

Wn/ms/Enam warga Amerika Syarikat ditahan atas cubaan hantar botol plastik ke Korea Utara

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Enam warga Amerika Syarikat ditahan atas cubaan hantar botol plastik ke Korea Utara

29 Jun 2025 (Ahad)

SEOUL - Pasukan polis Korea Selatan menahan enam warga Amerika Syarikat selepas mereka disyaki merancang untuk menghantar ribuan botol plastik yang mengandungi beras, wang kertas dolar AS dan kitab Bible ke Korea Utara, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Menurut laporan Reuters, kumpulan warga berkenaan dikesan pasukan keselamatan yang sedang melakukan rondaan di sebelah barat Pulau Ganghwa. Mereka pada ketika itu sedang cuba untuk melepaskan botol-botol berkenaan di laut berdekatan dengan sempadan Korea Utara.

Pulau itu telah digazetkan sebagai zon risiko di bawah undang-undang "Bencana dan Keselamatan" dan sebarang aktiviti yang membawa kepada provokatif berhampiran sempadan Korea Selatan-Korea Utara adalah tidak dibenarkan.

"Kami sedang melakukan soal siasat terhadap kesemua yang ditahan dengan menggunakan khidmat jurubahasa dan keputusan akan dibuat selepas 48 jam sama ada membebaskan mereka atau tidak," demikian menurut pihak berkuasa kepada Reuters. Namun begitu, pihak berkuasa tidak mendedahkan sama ada kesemua mereka yang ditahan itu pernah melakukan kesalahan yang sama sebelum ini.

Untuk rekod, percubaan menyebarkan maklumat mengenai propaganda anti-Korea Utara telah banyak dilakukan aktivis yang mencetuskan suasana tegang di antara kedua-dua negara. Korea Utara dilaporkan pernah menerbangkan beratus-ratus belon udara yang mengandungi sampah sarap sebagai tindak balas kepada provokasi yang dilakukan aktivis anti-Korea Utara.

Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung yang baru memegang tampuk kerajaan pada awal Jun berikrar untuk memperbaiki hubungan bersama negara jiran itu dengan meningkatkan lagi pemantauan terhadap sebarang cubaan provokatif yang dilakukan kumpulan aktivis.

Beliau mengarahkan agar pembesar suara yang menghebahkan maklumat propaganda anti-Pyongyang itu ditutup dalam usaha untuk meredakan ketegangan ketenteraan, selain memastikan keselamatan penduduk yang tinggal berhampiran dengan sempadan.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog