Wn/ms/Belanjawan 2013: Pembentangan di Dewan Rakyat

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Belanjawan 2013: Pembentangan di Dewan Rakyat

28 September 2012 (Jumaat)

Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR 28 Sept. − Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membentangkan Belanjawan 2013 pada Jumaat di Dewan Rakyat yang menggariskan lima perkara bertumpu bagi meningkatkan taraf hidup rakyat di negara ini.

Lima tumpuan yang akan diberikan bagi belanjawan untuk tahun hadapan ini ialah merangsang aktiviti pelaburan, memperkasa pendidikan dan latihan, membudaya inovasi dan meningkatkan produktiviti, pengukuhan fiskal dan mempercekap sistem penyampaian perkhidmatan awam serta mensejahterakan rakyat.

Belanjawan yang dibentangkan oleh Najib Tun Razak yang juga merangkap Menteri Kewangan itu juga bermatlamat untuk memastikan pembangunan ekonomi terus mapan, berhemah dalam perbelanjaan serta menurunkan kadar defisit fiskal dengan tujuan utama bagi mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Najib Tun Razak berkata ketika membentangkan belanjawan yang berjumlah RM251.6 billion di Dewan Rakyat,

Kerajaan akan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik serta manfaat maksimum hasil daripada pelaksanaan program dan projek pembangunan

Belanjawan yang bertemakan "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat : Sebuah Janji Ditepati" ini bakal memberi keselesaan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuklah masyarakat di kampung, golongan petani, buruh, nelayan, guru, pekebun kecil, pensyarah, karyawan, penjawat awam serta golongan profesional dan usahawan.

Tambah beliau lagi, pada 2013, berdasarkan persekitaran ekonomi global yang dijangka lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus.

Julung kalinya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal dijangka melepasi paras RM1 trilion
— kata Najib

Daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM251.6 bilion itu, sejumlah RM201.9 bilion ialah bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi peruntukan pembangunan. Pada tahun 2013, anggaran kutipan hasil Kerajaan Persekutuan menurut Najib adalah berjumlah RM208.6 bilion, berbanding RM207.2 bilion pada tahun ini (2012).

Menurut Najib,

Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan akan berkurangan kepada empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2013, berbanding 4.5 peratus pada 2012. Ini menunjukkan kerajaan komited untuk terus mengurangkan defisit fiskal ke paras lebih rendah

Bagi Belanjawan 2012, kerajaan telah memperuntukkan RM232.8 bilion termasuk RM181.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM51.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Sumber[edit | edit source]