Wn/ms/Angkasawan para pertama dunia, John McFall pembawa bendera rasmi Sukan Paralimpik di Paris
29 Ogos 2024 (Khamis)
PARIS - Majlis pembukaan Sukan Paralimpik di Paris yang berlangsung awal pagi tadi waktu Malaysia menyaksikan bendera rasmi kejohanan dibawa masuk oleh angkasawan para pertama dunia, John McFall.
McFall pernah menyertai Sukan Paralimpik di Beijing pada 2008 dan beliau berjaya meraih pingat gangsa menerusi acara pecut 100 meter kategori T42. Selepas itu, beliau memilih untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang berbeza apabila menyertai pasukan pembedahan ortopedik.
Pada 2022, McFall menyertai sebuah program latihan angkasawan anjuran Agensi Angkasa Eropah (ESA), selain turut mengambil bahagian dalam satu kajian kebolehlaksanaan ESA yang bertajuk "Fly!" yang menilai keupayaan angkasawan berkeperluan khas dalam misi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Menurutnya, pencapaian luar biasa sebagai seorang angkasawan para pertama yang akan pergi ke angkasa lepas adalah didorong oleh semangat Paralimpik itu sendiri. "Saya ialah seorang kanak-kanak nakal yang suka menyertai pelbagai sukan, namun saya tidak memiliki aspirasi menjadi atlet Olimpik," katanya menerusi wawancara bersama Space.com. "Selepas saya kehilangan kaki, saya cuba untuk berlari dan sukan merupakan bahagian paling besar dalam hidup saya."
McFall juga antara pendokong kuat semangat inklusif yang ditonjolkan dalam Paralimpik. "Anda dapati terdapat jalinan komuniti indah yang mana saya berpendapat ianya saling berhubung, mewakili semua dan melengkapi antara satu sama lain."
Ahli paralimpik Great Britain berusia 43 tahun itu kehilangan kakinya kerana terpaksa dipotong dalam satu pembedahan akibat kemalangan motosikal semasa beliau berusia 19 tahun. Walaupun kehilangan kaki, ia tidak mematahkan usaha McFall pada ketika itu untuk menjadi seorang atlet olahraga profesional.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Elizabeth Howell. " Astronaut John McFall carries Paralympic flag at opening ceremony Aug. 28 " — Space.com, 29 Ogos 2024
- (Inggeris) " Astronaut carrying flag at Paralympics sends "powerful message" " — New Straits Times, 29 Ogos 2024
- (Inggeris) Amy Woodyatt. " This Paralympian could be the first disabled person to go to space " — CNN, 28 Ogos 2024