Wn/ms/Aktiviti didik hibur ketika sesi PdP Biologi Tingkatan 5 di SMK Seksyen 4 Kota Damansara
17 Februari 2025 (Isnin)

Petaling Jaya – Sesi persekolahan tahun 2025/2026 bagi negeri-negeri di bawah Kumpulan B telah bermula seperti yang dijadualkan pada hari ini. Penulis telah mengambil kesempatan untuk melakukan tinjauan di sebuah sekolah menengah kebangsaan dekat Petaling Jaya, Selangor iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 4 Kota Damansara untuk melihat suasana sekolah termasuk aktiviti murid dan guru sempena minggu pembukaan sekolah.
Menurut Encik Mohd Zainudin bin Mohd Zain selaku Pengetua SMK Seksyen 4 Kota Damansara ketika ucapannya semasa perhimpunan rasmi, aktiviti berpusatkan kepada murid dan didik hibur (fun learning) bakal dilangsungkan oleh guru mata pelajaran di bilik darjah sempena minggu pertama pembukaan sekolah, manakala sesi pembelajaran dan pengajaran berdasarkan sukatan pembelajaran atau berorientasikan kepada pembelajaran akademik pula akan dilaksanakan menjelang minggu kedua persekolahan. Objektifnya bagi mewujudkan keceriaan dan keseronokan kepada golongan murid di samping menyediakan landasan persediaan yang baik kepada murid dan guru dalam aspek sosioemosi dan mental dalam melaksanakan proses pembelajaran secara formal pada minggu hadapan. Program pembukaan sekolah minggu pertama tanpa kelas akademik mula diperkenalkan oleh Kemeterian Pendidikan Malaysia menjelang tahun 2023.
Tinjauan telah dilakukan oleh penulis semasa sesi PdP Biologi yang dikendalikan oleh seorang guru perempuan di kelas Tingkatan 5 KAA (Kelas Aliran Agama) di aras dua, Blok D sekolah terbabit. Diketahui bahawa, sesi PdP Biologi ini turut digandingkan dengan murid-murid daripada kelas Tingkatan 5 Amanah.
Aktiviti yang dijalankan selari dengan konsep yang diperkenalkan oleh Kemeterian Pendidikan Malaysia yang cenderung bersifat permainan yang menyeronokkan dan santai. Selain itu juga, aktiviti yang dijalankan juga merupakan aktiviti yang berpusatkan kepada murid, penglibatan guru pula sebagai pemudah cara sahaja— membantu dan menyokong murid secara fizikal atau verbal dalam menjayakan aktiviti.
Terdapat lebih kurang sembilan buah kumpulan dibentuk. Setiap kumpulan yang terdiri daripada komposisi dua hingga tiga orang murid diberikan dua keping kertas yang berbeza. Sekeping kertas putih yang mempunyai beberapa seksyen-seksyen tulang manusia yang tidak disusun rapi dan tidak mengikut organisasinya manakala sekeping kertas lagi sebagai medium kertas kosong. Mereka dikehendaki memotong seksyen tulang-tulang manusia itu, menampalkan potongan-potongan kertas yang dipotong pada kertas yang satu lagi mengikut satah dan lokasi percantuman tulang dengan tulang yang betul supaya dapat membentuk satu rangka manusia yang lengkap, kemudian melabel bahagian tulang-tulang terbabit dengan nama yang betul. Aktiviti ini serupa dipadankan dengan aktiviti susun suai gambar.
Menurut guru itu, selain menyeronokkan, aktiviti ini juga bertujuan untuk menguji ingatan anak-anak muridnya mengenai sistem otot rangka manusia yang merangkumi tulang-tulang yang sudah diajarkannya pada pembelajaran yang lalu— memandangkan sistem otot rangka manusia terkandung dalam standard kandungan 14.2 iaitu "Sistem Otot Rangka Manusia" yang terangkum dalam bab ke-14 di sukatan pembelajaran Biologi Tingkatan 4.
Murid yang berjaya melabel dan menyusun tulang-tulang manusia pada lokasi dan organisasi dengan betul akan memperoleh insentif (hadiah) fizikal, katanya.