Wn/ms/Aisberg sebesar 2 kali ganda kota London dikesan berputar dalam satu kawasan di Antartika
6 Ogos 2024 (Selasa)
Saintis mengesan bongkah aisberg terbesar dunia, A23a kini terperangkap dan hanya berpusing di satu tempat dekat Pulau Orkney Selatan yang tidak berpenghuni di bahagian utara benua Antartika sejak beberapa bulan lalu.
Bongkah aisberg yang memiliki keluasan dua kali ganda kota London itu pada mulanya berpecah daripada Kolum Ais Filchner–Ronne pada 1986, namun tidak lama selepas itu ia tersangkut di Laut Weddell kerana bahagian bawah bongkah itu tidak dapat melepasi dasar laut. Kemudian ianya dikesan bergerak semula menjauhi Antartika pada 2020.
Pada April, saintis mengesan bongkah A23a dibawa arus ombak terkuat dunia, Antarctic Circumpolar Current (ACC) dan sepatutnya ia bergerak menuju ke arah selatan Lautan Atlantik. Menurut pasukan Peninjau Antartik British (BAS), pergerakan bongkah itu terhenti dan hanya berpusing di satu tempat, walaupun ia sepatutnya melakukan perjalanan ke utara dan mencair.
"Mengejutkan, aisberg mega A23a masih lagi bersama kami dan telah menangguhkan perjalanan ke utara dimana ia dijangka akan mencair," kata BAS menerusi hantaran di laman X. "Ais sebesar Cornwall (bandar) kini hanya berpusing di atas pusaran laut dekat Pulau Orkney Selatan, kekalkan putaran sebanyak 15 darjah sehari."
Fenomena Taylor Column
Para pengkaji laut tidak menolak kemungkinan situasi luar biasa itu berpunca daripada fenomena Taylor Column, sejenis fenomena berkaitan arus pusaran menegak cecair yang mula dihuraikan Sir GI Taylor pada 1920-an. Fenomena itu berlaku apabila arus di bawah laut dipisahkan menjadi dua arus berbeza akibat dihalang sesuatu objek, menyebabkan berlakunya pusaran air di bahagian atas.
Dalam situasi ini, saintis mengenal pasti halangan yang menyebabkan berlakunya fenomena itu berpunca daripada bukit selebar 100 meter di dasar laut yang dikenali sebagai Pirie Bank. Bongkah A23a pula berada di kawasan pusaran air di bahagian atas fenomena itu, menyebabkan ia hanya berpusing di satu tempat.
Profesor Mike Meredith dari pasukan BAS berkata fenomena itu bukan hanya boleh terjadi di lautan, namun ia boleh berlaku di udara. "Taylor Column boleh terjadi di udara; kita boleh mengesannya melalui pergerakan awan di atas gunung."
Tidak dipastikan bila bongkah itu akan berhenti berpusing atau dapat melepasi pusaran itu. Apabila Prof. Meredith menempatkan boya sains di Taylor Column di sana, alatan itu masih lagi berpusing di tempat sama selepas empat tahun.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " A23a: Iceberg That Broke Free In 1986 Still Spinning Today " — NDTV, 6 Ogos 2024
- (Inggeris) Jen Mills. " Why is an iceberg bigger than London just spinning in place in the ocean? " — Metro, 5 Ogos 2024
- (Inggeris) " World's Largest Iceberg May Be Trapped in Ocean Vortex for Years " — Newsweek, 5 Ogos 2024