Wn/ms/Seorang jemaah umrah melakukan ekspedisi berjalan kaki sejauh 8,000 kilometer

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Seorang jemaah umrah melakukan ekspedisi berjalan kaki sejauh 8,000 kilometer

16 Mei 2024 (Khamis)


Madinah - Seorang pengembara dari Perancis, Mohamed Boulabiar menghabiskan masa selama lapan bulan selepas beliau melakukan perjalanan merentasi 13 buah negara dengan berjalan kaki, bagi melakukan ibadat Umrah, demikian menurut laporan Agensi Berita Arab Saudi pada Rabu lalu.

Umrah ialah salah satu ibadat yang hanya dapat dikerjakan di Makkah, selain Haji.
Imej: Al Jazeera English.

Menurut Boulabiar, sebelum memulakan ekspedisi sepanjang 8,000 kilometer itu, beliau telah berlatih selama dua tahun melakukan persiapan rapi dari segi fizikal dan mental. Memulakan perjalanan dari Menara Eiffel di Paris pada 27 Ogos 2023, Boulabiar merentasi beberapa negara seperti Switzerland, Itali, Slovenia, Croatia, Bosnia, Montenegro, Albania, Macedonia, Greece, Turkiye dan Jordan sebelum sampai ke Arab Saudi.

Berbekalkan peta dan beg yang mengandungi kelengkapan asas dan khemah yang keseluruhannya memiliki berat 25 kilogram, Boulabiar berkata beliau banyak bermalam di masjid-masjid di sepanjang perjalanannya dan ada juga pihak yang bermurah hati menjemputnya masuk ke dalam rumah. Namun begitu, menurut beliau lagi, keadaan cuaca membuatkan perjalanan menjadi lebih sukar.

"Saya bertolak pada waktu musim panas dan sampai pada musim bunga, melalui musim luruh dan musim sejuk, meredah cuaca ribut dan kilat. Pada satu ketika semasa ekspedisi ini, ribut salji yang berlaku di sempadan Greece melambatkan perjalanan saya selama seminggu. Saya berjalan semasa suhu mencecah 40 darjah Celcius, tetapi bersyukur kerana semuanya dipermudahkan," katanya.

"Saya selalu menyimpan hasrat untuk melakukan ekspedisi ini. Ia merupakan satu impian sejak saya kecil lagi. Saya teringin untuk pergi ke Makkah dengan berjalan kaki serta mencontohi Nabi Muhammad S.A.W. dan sahabat-sahabat Baginda".


Sumber[edit | edit source]