Wn/ms/Nepal melarang produk rempah ratus keluaran Everest dan MDH

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Nepal melarang produk rempah ratus keluaran Everest dan MDH

17 Mei 2024 (Jumaat)

Nepal merupakan negara terkini yang mengenakan larangan import dan penjualan terhadap produk rempah dari India, Everest dan MDH, atas faktor kebimbangan mengenai kandungan bahan kimia yang terlarang yang terdapat dalam produk itu. Jabatan Teknologi Pemakanan dan Kawalan Kualiti Nepal telah menjalankan ujian makmal ke atas sampel rempah dari kedua-dua jenama itu untuk mengesan bahan etilena oksida, sejenis bahan yang boleh menyebabkan kanser, laporan ANI.

Gambar hiasan.
Imej: Miomir Magdevski.

Jabatan itu juga mengenakan larangan selepas pihak berkuasa Singapura dan Hong Kong mengenakan larangan terhadap produk yang dikeluarkan oleh kedua-dua jenama yang atas faktor yang sama.

"Produk rempah keluaran Everest dan MDH adalah dilarang untuk diimport dan dijual di pasaran," kata Mohan Krishna Maharjan, jurucakap jabatan itu. "Ujian sedang dijalankan bagi mengenalpasti jenis bahan kimia yang terdapat dalam produk keluaran kedua-dua jenama ini. Larangan akan dikekalkan sehingga laporan akhir dikeluarkan," katanya lagi.

Rempah keluaran Everest dan MDH yang popular dengan pelbagai jenis produk dan kualiti serta produk yang paling dikenali di India. Rangkaian produk mereka juga dieksport ke beberapa buah negara, termasuklah di Timur Tengah.

April lalu, badan keselamatan makanan Hong Kong telah mengenakan larangan ke atas empat produk rempah ratus untuk kedua-dua jenama itu. Sehari kemudian, Agensi Makanan Singapura (SFA) menarik balik produk Fish Curry Masala keluaran Everest kerana mengandungi bahan etilena oksida yang tidak dibenarkan.

Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan dan Piawaian India (FSSAI) telah mengarahkan pemeriksaan kualiti ke atas produk MDH dan Everest. Mereka juga telah meminta maklumat terperinci daripada pihak keselamatan makanan di Hong Kong dan Singapura.


Sumber[edit | edit source]